Hari ni Fizal dan Baha pergi ke Chalet Impian untuk memasang wifi. Dah lama juga En. Sharil (tauke chalet) suarakan cadangan agar disediakan kemudahan internet tanpa wayar untuk penginap chalet di situ. Namun suara sumbang beliau itu terpaksa disenyapkan sementara waktu kerana kesibukan tugas hakiki lain dan juga kenaikan harga petrol.
Kini setelah harga petrol turun, kami pun turun melakukan kerja-kerja pemasangan wifi, dan turut terjebak dalam melakukan kerja-kerja tidak hakiki, iaitu pengemasan bilik pejabat chalet tersebut yang agak berserabut. Syukur kerja pemasangan Access Point tersebut agak mudah walaupun kami terlupa kata laluan internet pada mulanya.
Sebagai makluman pembaca yang cetek teknologi, wi-fi asalnya adalah singkatan kepada istilah "Wireless Fidelity". Apabila menyebut wifi, ianya merujuk kepada semua perkakasan rangkaian secara gelombang (tanpa wayar) di bawah piawaian IEEE 802.11.
Wifi perlu disebut sebagai "wai-fai", namun ada sesetengah orang tersalah menyebutnya sebagai "wie-fie". Ini adalah kesalahan yang biasa-biasa sahaja jika anda berborak bersama rakan, namun agak luarbiasa jika disebut di merata-rata tempat tanpa segan silu. Harap maklum.
p/s: Teringat kami akan desas-desus yang tersebar satu ketika dulu kononnya nama Chalet Impian diambil sempena nama orang kuat Chalet tersebut iaitu En. Pian. Setelah diselidiki berita tersebut ternyata palsu.